Persidangan Kedua Kongres_Rakyat

Persidangan Kongres Rakyat kali kedua bersifat lokal yang dihadiri oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu perseorangan telah diadakan pada 3 Disember 2015 di Kompleks Pengajian Darul Hadis, Tok Keling, Kedah. Persidangan telah diketuai oleh Speaker Kongres Rakyat Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dari Parti Islam Se-Malaysia yang merupakan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah.

Resolusi Persidangan Kedua

Sekretariat telah mengeluarkan resolusi persidangan kedua bertemakan Membina Kedah Sejahtera mengisytiharkan:

  1. Berusaha mewujudkan masyarakat bertamadun dan berakhlak yang berteraskan pegangan agama, mendokong keluhuran nilai-nilai murni serta mengutamakan keharmonian antara rakyat dari pelbagai etnik dan pegangan agama.
  2. Bertekad membina Negeri Kedah Darul Aman yang mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pengemblengan dan gerakan kesedaran rakyat dari segenap lapisan; dari golongan masyarakat bawahan hinggalah pemimpin kerajaan, agar melaksanakan dasar pembangunan yang betul bagi menjayakan cita-cita Membina Kedah Sejahtera.
  3. Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat kearah perubahan sosial, ekonomi dan politik yang adil, partisipatif dan demokratik serta mendidik rakyat agar mengelak pendekatan yang boleh menimbulkan suasana kucar kacir dan tidak harmonis di negeri Kedah.
  4. Bertindak mewujudkan amalan dan budaya berpolitik yang telus dan tulus, mengutamakan kepentingan rakyat dan membina politik yang sihat. Kongres Rakyat menekankan agar wujud ahli-ahli politik yang beramanah, berakhlak, berintegriti serta mengutamakan kepentingan rakyat.
  5. Berusaha membela masyarakat terbanyak di negeri ini yang terdiri dari golongan petani, penoreh getah, pekerja dan nelayan. Kongres juga memberi perhatian terhadap pembelaan hak dan tanggungjawab kepada masyarakat minoriti demi melahirkan negeri Kedah yang menegakan keadilan untuk semua.
  6. Memberi pembelaan dan bantuan sewajarnya terhadap golongan terpinggir, kurang berkemampuan atau hilang upaya seperti OKU, fakir, miskin, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.
  7. Memastikan agar sumber negeri Kedah diurus dengan berkesan, menghindari pembangunan yang menjejaskan kualiti alam sekitar, mengekalkan daya saing dan daya maju ekonomi negeri Kedah dengan mapan untuk generasi kini dengan erasi masa depan.
  8. Bertindak untuk mendesak Kerajaan Negeri dan Persekutuan berperanan dengan berkesan mentadbir urus negeri Kedah dengan amanah dan berintegriti demi kebajikan rakyat; serta mengekang segala amalan rasuah, salahguna kuasa dan pembaziran wang awam, menghentikan sebarang tindakan yang menyusahkan rakyat seperti pelaksanaan GST untuk semua golongan, menandatangani TPPA yang menggadai kedaulatan negara, menaikkan tol, cukai tanah dan pelbagai bayaran perkhidmatan awam yang membebankan kos sara hidup rakyat.
  9. Mengkaji, meneliti dan menghalusi semua tuntutan yang disuarakan dalam Kongres Rakyat Negeri Kedah; seterusnya merumuskan sebuah Pelan Tindakan Rakyat Kedah yang akan dideklarasikan pada 1 Januari 2016.